Home
>
Bunga Api Cetus Kebakaran
Bunga Api Cetus Kebakaran
PUTRAJAYA: Orang ramai yang sedang asyik menyaksikan persembahan bunga api pada Pertandingan Bunga Api Antarabangsa Putrajaya 2013 di sini dikejutkan dengan kebakaran di kawasan belukar di Presint 4 berdepan dengan lokasi penganjuran acara berkenaan.
Difahamkan, kebakaran di kawasan belukar itu berlaku pada 10.20 malam tadi iaitu kira-kira 20 minit selepas berlangsungnya persembahan bunga api oleh peserta dari Emiriah Arab Bersatu (UAE). Kebakaran di kawasan belukar itu yang terletak di Sisiran Tasik Presint 4 dipercayai berpunca daripada percikan bunga api dibawa angin ketika persembahan berlangsung.
Berikutan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya yang sudah bersedia ketika penganjuran acara berkenaan bergegas ke lokasi kebakaran bagi mengawal api daripada terus merebak.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya Mohd Zarami Ibrahim berkata, pihaknya menyedari kebakaran di kawasan belukar berkenaan ketika sedang bersiap sedia di Kompleks Sukan Air Presint 6 iaitu kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.
Menurutnya, dua jentera bomba dengan kekuatan 15 anggota dikerahkan ke lokasi kejadian dan hanya dapat tiba di sana pada jam 10.39 malam berikutan berlaku kesesakan lalu lintas berikutan orang ramai menyaksikan pertunjukan bunga api.
"Siasatan awal kami mendapati percikan bunga api terkena di lima tempat di kawasan belukar membabitkan keluasan kebakaran kira-kira 213 meter persegi menyebabkan kami perlu menggunakan pam angkut untuk mendapatkan bekalan air bagi mengawal kebakaran.
"Kebakaran cepat merebak berikutan kawasan belukar dipenuhi daun kering serta keadaan berangin," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini, malam tadi.
Mohd Zarami berkata, kebakaran dapat dikawal pada jam 12.10 pagi iaitu kira-kira satu jam setengah selepas kejadian.
Bagaimanapun, katanya, tiada kecederaan dan kehilangan nyawa dilaporkan. |
Ranking: 5
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment