MARANG – Berang dengan tindakan dua lelaki cuba mencuri wang tabung masjid, penduduk Kampung Surau Haji Mat Zain menggantung motosikal ditinggalkan suspek pada sebatang tiang telefon di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam kelmarin, seorang penduduk ternampak dua lelaki menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan di dalam perkarangan masjid kampung itu.
Pengerusi masjid berkenaan, Zaidi Ibrahim, 50, berkata, kehadiran dua lelaki itu kemudiannya dimaklumkan kepada beberapa penduduk berdekatan sebelum mereka bergegas ke masjid untuk membuat pemeriksaan.
“Kehadiran penduduk mengejutkan dua suspek terbabit yang kemudiannya melarikan diri dan meninggalkan motosikal dinaiki mereka. Selepas pemeriksaan, penduduk mendapati tabung masjid berpindah tempat.
“Tabung yang terletak di ruang solat utama lelaki itu didapati dipindahkan ke tempat solat wanita, dua suspek terbabit dipercayai ingin mengambil wang dalam tabung itu,” katanya ketika ditemui di masjid itu, semalam.
Zaidi juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) kampung itu berkata, penduduk yang berang dengan perbuatan itu bertindak menggantung motosikal dinaiki suspek pada tiang telefon berdekatan masjid.
“Penduduk kampung berjaga sehingga Subuh, menunggu dua suspek terbabit jika mereka datang menurunkan motosikal. Namun mereka tidak berbuat demikian sehingga pagi tadi,” katanya semalam.
Zaidi berkata, motosikal jenis Honda EX5 itu kemudiannya diturunkan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, pihaknya memberi amaran kepada segelintir pihak agar tidak mengulangi perbuatan itu.
“Kami sentiasa membuat rondaan dan bekerjasama dalam menjaga keselamatan kampung dan orang ramai berikutan jenayah kecil sering berlaku pada waktu malam di sini,” katanya. – SinarHarian
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment