Sharnaaz Ahmad
PETALING JAYA: Pelakon Sharnaaz Ahmad menyifatkan dakwaan mengenai dia terlibat dalam pergaduhan dengan berbalas tumbukan bersama seorang pengguna jalan raya di kawasan Ampang adalah mengarut.
Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Basir Ahmad, 28, menafikan gosip tersebut dan bertegas sehingga kini dia belum pernah lagi terbabit dengan mana-mana pergaduhan.
"Siapalah yang buat cerita ini tanpa bertanya pada saya dahulu? Saya tak buat perkara itu.
"Janganlah menuduh saya sembarangan. Apapun saya terima gosip ini sebagai dugaan dalam hidup," katanya yang dihubungi mStar Online pada petang Isnin.
Pada Ahad lalu, sebuah akhbar mingguan dalam ruangan pojok melaporkan Sharnaaz telah bergaduh dengan seorang pengguna jalan raya lain sehingga membelasah lelaki tersebut dengan teruk.
Sharnaaz juga tidak terkecuali terkena tumbukan ketika insiden tersebut. Pergaduhan itu membuatkan kawasan jalan raya itu sesak kerana ia turut disaksikan orang ramai.
Dalam pada itu tambah Sharnaaz yang baharu saja selesai penggambaran drama Baby Yana (untuk saluran RTM), dia berharap masyarakat tidak sembarangan mempercayakan gosip tersebut hanya kerana dia dilihat seorang yang baran.
Bagaimanapun, bekas kekasih Shila Amzah itu mengakui, dia akan mempertahankan dirinya andakata dia dikasari mana-mana pihak.
"Jujurnya dahulu saya seorang yang pemarah dan cepat naik angin. Tetapi manusia boleh berubah bukan?
"Saya tidak akan memukul orang tanpa sebab dan akan bawa berbincang dahulu jika sesebuah masalah itu timbul. Perasaan marah saya kini sudah boleh dikawal," ujarnya.
Dalam perkembangan terbaharu, Sharnaaz kini sibuk membuat latihan senaman bina badan di sebuah gim bagi tuntutan wataknya sebagai lelaki antagonis sebuah drama 60 episod (belum tahu judulnya) bagi siaran Astro Mustika.
Kata pelakon itu, kerana drama itu juga dia terpaksa menurunkan berat badannya daripada 80 kilogram (kg) kepada 72 kg. Dan kemudian dia membina badan semula sehingga berat mencecah 82 kg.
Sementara itu, ditanya pula sudahkan dia memiliki pasangan baharu selepas putus hubungan dengan Shila, katanya, dia belum bersedia lagi untuk bercinta.
"Saya bukannya serik, tetapi biarlah fokus pada kerja dahulu. Jika bertemu dengan wanita dirasakan sesuai dengan diri, saya tidak akan mengambil masa lama untuk berkahwin," tuturnya.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment