GEORGETOWN – Seorang pesakit di sebuah hospital swasta cemas apabila hampir termakan ulat yang dihidangkan bersama dalam hidangan makan malamnya ketika menerima rawatan di situ.
Mohamad Naim Ishak, 29, yang juga pekerja hotel di Batu Feringghi dimasukkan ke hospital berkenaan kerana mengalami masalah usus.
Menurutnya, dia tidak menafikan sepanjang beberapa hari dimasukkan ke hospital itu kebanyakan makanan yang dihidangkan kurang memuaskan.
“Kemuncaknya apabila pada hari terakhir berada di wad, saya dihidangkan sayur dan juga ayam.
“Ayam yang diberikan masih mentah dan tidak masak sepenuhnya, sementara ketika saya mengangkat sayur untuk dimakan, tiba-tiba ulat keluar dari celahan sayur dan saya amat terkejut,” katanya.
Pengalaman pertama berada di hospital itu menjadi mimpi ngeri bagi Mohamad Naim.
Dia kemudiannya membuat aduan kepada pihak hospital setelah merakam semua gambar makanan menggunakan telefon bimbitnya.
Pihak hospital kemudiannya bersetuju untuk bertemu dan menyelesaikannya dengan cara baik.
Mohamad Naim berkata, dia kemudian dibawa ke kantin hospital dan kakitangan dari Kuala Lumpur memintanya untuk menyelesaikan perkara itu di luar sahaja, tetapi sampai sekarang masih tiada berita diterima.
“Bagi saya ini melibatkan ancaman kesihatan kepada pesakit kerana saya mengalami cirit birit selama tiga hari selepas makan sayur dan ayam itu,” katanya.
Tidak berpuas hati dengan tindakan acuh tidak acuh pihak hospital swasta itu, mangsa kemudiannya membuat laporan ke Pejabat Kesihatan negeri. Mohamad Naim menegaskan dia bukan mahu mencari publisiti, sebaliknya mahu menjadikan kisahnya sebagai teladan.
“Walaupun bil hospital saya dibayar melalui insurans, tetapi ia sesuatu yang tidak patut berlaku. Saya juga membayar insurans bulanan dengan harga yang mahal. Kita bayar perkhidmatan mahal tetapi layanan dan makanan yang diberikan tidak sepadan,” katanya.
Sinar Harian kemudiannya cuba mendapatkan pandangan Exco Kesihatan, Kebajikan dan Masyarakat Penyayang, Phee Boon Poh. Dia kemudiannya mengarahkan wartawan mendapatkan pandangan seorang kakitangan kesihatan, namun gagal dihubungi.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment