Belum Kahwin Dah Ada Anak!!



Setelah tujuh tahun berkenalan akhirnya jejaka berusia 27 tahun ini mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya, Dayang Noor Shila Abang Idrus, 24, pada 3 November lalu.

Menurut Azam Pitt, keserasian mereka yang bermula sebagai rakan biasa yang membawa kepada keputusan untuk bertunang.

Walaupun sehingga kini masih kabur tentang tarikh pernikahan, apa yang penting mereka telah melalui satu fasa penting hidup tanpa perlu berselindung.

Bagaimanapun mengamati gambar-gambar pertunangan yang dikongsikan Azam, ada satu persoalan yang perlu dijawab pelakon itu iaitu kehadiran seorang anak kecil dalam beberapa keping gambar tersebut.

Tidak mahu kedudukan anak tersebut terus dipersoal, menurut Azam, anak kecil berusia satu tahun tujuh bulan bernama Nur Adriana Qistina itu memang anaknya bersama tunangnya.

"Itu memang anak saya dan tunang. Kami sudah menjaganya sejak dari lahir lagi. Walaupun dia hanya anak angkat, kami memang sangat menyayanginya," katanya.




Menjelaskan mengapa dia dan Noor Shila bersetuju mengambil anak angkat walaupun mereka masih belum berkahwin, kata Azam, permintaan itu sebenarnya hadir dari tunanganya itu.

"Memang sebelum Shila mengambil anak angkat ini dia sudah berbincang dengan saya, katanya dia sunyi. Memikirkan ini adalah sesuatu yang baik untuk dia dan saya, juga ke arah kehidupan yang lebih bertanggungjawab, saya langsung bersetuju," katanya.

Menjelaskan sangat selesa bergelar seorang ayah, bagi Azam walaupun anaknya itu tinggal bersama tunangnya di Kuching, Sarawak itu tidak bermakna hubungan mereka renggang.

"Dia panggil saya papa dan tunang saya mama. Sama seperti ayah-ayah lain, saya juga sayang kepadanya. Saya harap dengan penjelasan ini tiada lagi yang meragui status anak saya," katanya.

Bercerita mengenai perancangan masa hadapan, menurut Azam, buat masa ini dia dan Noor Shila belum lagi membuat keputusan mengenai tarikh pernikahan mereka.

Membenarkan bakal isterinya itu terus berada di Kuching, bagi Azam, jika di masa hadapan dia terpaksa berulang-alik untuk bertemu keluarga, itu tidak akan menjadi masalah buatnya.

"Bakal isteri saya terlibat dengan perniagaan keluarga di sana. Jadi, memang dia akan terus berada di sana. Mungkin kalau sudah bernikah nanti saya akan berulang-alik," katanya.
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© PutehPuteri All Rights Reserved