SHAH ALAM: Sekian lama berdiam diri selepas dikatakan muflis, vokalis kumpulan Search iaitu Amy akhirnya mengaku mengenai kontroversi itu selain mendedahkan dia telah dianiaya oleh sahabat sendiri. Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman, 55, bagaimanapun enggan mengulas berhubung perkara tersebut dan hanya akan berbuat demikian apabila kes berkenaan dibawa ke mahkamah.
"Apa yang boleh saya katakan, saya sebenarnya dianiaya oleh sahabat baik sendiri sehingga menyebabkan saya muflis. Itulah akibat terlalu percayakan kawan. "Namun buat masa ini saya tidak mahu mengulas lanjut kerana akan membawa kes ini ke mahkamah untuk tindakan seterusnya," kata Amy kepada mStar Online.
Amy ditemui selepas sidang media Konsert Destini di Hotel Blue Wave di sini, Rabu. Konsert bagi mengumpul dana Yayasan Destini Anak Bangsa (YDAB) itu bakal diadakan pada 20 dan 21 Disember depan menampilkan barisan artis seperti Datuk Siti Nurhaliza, Rossa, Pansha (Ungu), Adira, Hafiz, Jaclyn Victor, Awie dan Dayang Nurfaizah.
Amy sebelum ini dipercayai gagal untuk menyelesaikan sejumlah hutang yang dipinjamnya bagi menjayakan konsert jelajah Di Awan Biru sekitar 2009. Perkara tersebut telah dibawa ke mahkamah dan keputusan yang dikeluarkan telah menyebabkan Amy isytihar sebagai muflis.
Dalam pada itu, mengulas mengenai luahannya mengenai perkara itu di Facebook miliknya pada Rabu, Amy berkata tindakannya mendedahkan mengenai kemelut itu berlaku secara tiba-tiba.
Jelas Amy, sebelum ini dia berdiam diri dan mengelak daripada berbicara mengenai perkara itu kerana enggan isu tersebut menjadi kecoh sehingga timbulnya fitnah.
"Apa yang saya kongsi di laman Facebook adalah luahan rasa hati yang saya pendamkan selama beberapa tahun ini. "Luahan saya itu hanya sedikit dan masih banyak perkara lain belum saya luahkan," jelasnya.
Sementara itu, Amy berkata, walaupun pada mulanya dia sukar untuk menerima kenyataan bahawa dia telah muflis dan dikhianati oleh sahabatnya sendiri namun dia menyedari ia adalah satu dugaan. Jelas Amy, dia tetap menjalani kehidupannya seperti biasa dan yakin ada hikmah di sebalik kejadian itu.
"Apa lagi yang boleh saya buat selain bersabar dengan dugaan yang menimpa kerana mungkin ada hikmah di sebaliknya. "Saya masih bersyukur kerana mempunyai kudrat untuk terus bekerja dan menampung keluarga," katanya.
Malah kata Amy, dia sudah memaafkan orang yang mengkhianatinya dan berharap individu tersebut akan memperbetulkan kembali keadaan.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment